Thursday, 8 September 2016

.Tuhau merupakan salah satu makanan tradisional suku kaum Kadazan-Dusun yang amat terkenal di Sabah. Nama makanan ini diambil daripada tumbuhan yang dipanggil Tuhau dengan nama saintifiknya, E. Coccinea kerana bahan utama dalam makanan ini adalah batang tumbuhan Tuhau. Tumbuhan Tuhau mempunyai bau yang sangat kuat seperti bau serangga dan tumbuhan ini hidup subur di kawasan hutan hujan terutamanya di Pulau Borneo. Makanan Tuhau sebenarnya merupakan makanan berupa jeruk yang enak dimakan bersama nasi dan lauk-pauk lain. Walau bagaimanapun, baunya yang seakan-akan serangga membuatkan ramai yang takut untuk mencuba makanan ini.
Pinasakan Sada (ejaan lama: Pinaasakan) atau Pinarasakan merupakan makanan tradisional bagi kaum Kadazan-Dusun dan sangat terkenal di Sabah. Makanan ini merupakan sejenis makanan yang mengandungi ikan Basung yang telah ditumis dan dicampur dengan bahan-bahan lain seperti buah Bambangan, takob-akob, kunyit dan garam. Ianya juga sejenis makanan yang tahan lama dan boleh disimpan untuk beberapa hari.
Hinava atau Hinata, atau juga dikenali sebagai Hinava Ginapan, merupakan makanan tradisional yang paling terkenal bagi kaum Kadazan-Dusun di Sabah. Hinava merupakan nama makanan ini bagi suku kaum Kadazan manakala Hinata pula bagi kaum Dusun. Bahan utamanya adalah isi ikan (biasanya ikan Tenggiri dan ikan Yu) yang dicampurkan bersama bahan-bahan lain seperti biji buah Bambangan, cili merah, halia, bawang merah, limau kapas dan garam. Isi ikan (juga boleh digantikan dengan makanan laut yang lain seperti sotong dan udang) tidak dimasak tetapi dibersihkan dan dicampur dengan cuka atau perahan jus limau.
 Nasi Linopot atau Nasi Daun Tarap merupakan sejenis makanan tradisional kaum Kadazan-Dusun yang menggunakan daun Tarap (juga dikenali sebagai daun Timadang) untuk membungkus nasi yang telah masak. Nasi tersebut kadang-kala telah dicampur dengan keladi, labu manis, ubi kayu atau keledak sebelum di bungkus dengan daun tersebut. Keistimewaan makanan ini ialah nasi yang telah dibungkus akan mempunyai haruman yang enak dan sedap dimakan. Ianya boleh dimakan bersama lauk-pauk seperti ikan dan sayur-sayuran.

No comments:

Post a Comment